Avengers : Age of Ultron [REVIEW]
بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum
Avengers : Age of Ultron [REVIEW] | Download Avengers : Age of Ultron | Tonton Online Avengers : Age of Ultron
“We can tear them apart, from the inside” Itulah strategi terpenting oleh Ultron untuk menghancurkan Avengers! Berjayakah? Tonton filem ini.
AVENGERS : AGE OF ULTRON (2015) ialah sebuah filem yang besar dari serba-serbinya; cerita, perwatakan dan produksi. Ia dibuka dengan sekuen aksi yang hebat menampilkan ahli-ahli Avengers yang bergabung, boom! Misi pertama mereka ialah untuk merampas semula tongkat sakti kepunyaan Loki yang kini dimiliki oleh kuasa jahat kumpulan HYDRA. Apa yang berlaku seterusnya? Anda kena ke pawagam sekarang untuk menyaksikan sendiri bagaimana penceritaan filem ini dikembangkan sampai habis meletup-letup!
AMARAN: Ulasan seterusnya mungkin mengandungi spoiler, baca dengan risiko sendiri
Berbanding filem The Avengers (2012) yang mengetengahkan musuh utama iaitu Loki, makhluk asing yang mengganggu ketenteraman bumi, kali ini penjahat paling jahat untuk filem ini ialah Ultron (suara latar oleh James Spader). Asal-usul Ultron mengingatkan saya kepada filem Transcendence (2014) dan Chappie (2015) yang digabungkan, tetapi dalam versi ‘Artificial Intelligence’ (AI) yang gangster. Pembentukan Ultron juga seolah seiras bagaimana latar Sentinels dalam filem X-Men: Days of Future Past (2014) yang berpunca dari rekaan dan kajian ahli Avengers sendiri? Tonton filem ini.
Ultron seumpama ‘senjata makan tuan’ yang memporak-perandakan bumi. Kali ini penciptanya berniat baik tetapi menjadi huru-hara apabila Ultron menganalisa dan berfikiran berdikari sendiri untuk menyimpulkan apa yang sewajarnya secara logik bagi me-reset semula manusia dan bumi? Ultron ada memetik rujukan seperti kejadian banjir besar Noah untuk memulakan semula evolusi kemanusiaan. Ultron menganggap kewujudannya seperti ‘Tuhan’ yang akan menentukan hala-tuju kehidupan manusia dan nasib bumi di tangannya.
Kerana itulah Ultron mesti menghapuskan Avengers yang menjadi benteng paling hadapan sebelum bumi dimusnahkan. Itulah teori yang difikirkan wajar oleh Ultron yang juga menjadi konflik utama filem ini. Ultron juga sebenarnya ialah replika salah seorang ahli Avengers. Siapakah yang diwarisi oleh Ultron? Bagaimana Ultron menyusun fasa-fasa pemusnahan itu? Tonton filem ini.
James Spader yang kembali terkenal semula selepas siri tv The Blacklist semakin popular, berjaya memberikan jiwa dan intonasi watak Ultron yang kedengaran ego megalomaniac dan merbahaya sebagai Ultron. Begitu juga lakonan Paul Bettany yang hanya digunakan suaranya sebagai J.A.R.V.I.S. dalam siri filem Iron Man, kini diberikan watak ‘bertubuh-badan’ sebagai Vision untuk lebih beraksi. Pertembungan drama dan kuasa di antara Ultron dan Vision merupakan di antara babak yang sangat menarik dan setanding.
Avengers: Age of Ultron juga menambahkan lagi 2 watak adik-beradik adiwira / musuh iaitu Quicksilver (Aaron Taylor-Johnson) dan Scarlet Witch (Elizabeth Olsen) yang diperkenalkan di hujung filem Captain America: The Winter Soldier (2014) tahun lalu. Kali ini watak Hawkeye (Jeremy Renner) diberikan pengembangan latar keluarga yang lebih berbanding watak-watak lain. Manakala watak Black Widow (Scarlett Johansson) diberikan babak flashback untuk memahami latar asal-usul kehebatannya sebagai gadis yang lasak dan kuat. Iron Man (Robert Downey Jr.), Captain America (Chris Evans) dan Thor (Chris Hemswoth) juga diberikan ‘bayangan’ yang bukan-bukan. Namun begitu, Hulk (Mark Ruffalo) menjadi semakin ganas sehingga sanggup berbunuhan dengan salah seorang Avengers. Kenapa? Tonton filem ini.
Sebagai sebuah filem yang menggabungkan terlalu ramai superheroes yang juga sudah ada filem berjudul milik masing-masing, Avengers: Age of Ultron memang mempunyai risiko untuk berebut limelight. Namun begitu, pengarah dan merangkap penulis lakonlayar Joss Whedon dengan jayanya menyulam penceritaan dan selang-seli penampilan aksi dan dialog kesemua watak-watak untuk nampak seimbang walaupun mempunyai plot yang agak berselirat. Mungkin juga kerana pesona setiap ahli Avengers yang ada tarikan kuasa hebat tersendiri menjadikan tontonan tidak membosankan atau meleret kerana ia disunting dengan pantas dan kemas.
Jika diperhatikan dengan teliti gaya penceritaan filem ini seolah ada resepi formula yang agak se-acuan dengan filemnya terdahulu di tangan Joss Whedon sekali lagi. Misalnya, Tony Stark akan bekerjasama dengan Dr. Bruce Banner (sekali lagi) menganalisa tongkat Loki, kali ini ia lebih mendalam. Avengers akan bertekak sesama mereka dan beradu tenaga kekuatan hebat masing-masing kerana salah faham, sebelum bersatu hati semula sebagai sebuah kumpulan.
Filem aksi fantasi komik yang memaparkan pergaduhan kekuatan mega dahsyat sebegini, sebenarnya bersandarkan sepenuhnya teknik suntingan pos-produksi teknologi berkomputer yang juga dahsyat kualitinya! Babak-babak itulah intipati hiburannya yang sangat diidamkan oleh penonton. Ia nampak sungguh luarbiasa! Tradisi dan warisan hiburan ‘merepek’ dunia komik dari Marvel Cinematic Universe itu akan diteruskan lagi dengan sekuel-sekuel filem yang seterusnya tahun demi tahun, fasa ke-2 dan ke-3 katanya sehingga tahun 2019. Nick Fury (Samuel L. Jackson) sudah pasti ada banyak lagi misi untuk mempertahankan bumi.
Francais MCU juga dikembangkan ke pasaran siri tv Agents of S.H.I.E.L.D. untuk memuaskan lagi kehausan pembaca fanatik komiknya.
KESIMPULAN
Avengers: Age of Ultron ialah sebuah filem yang berasal dari komik. Berapa teruk jahanam pun muka bumi dek pertempuran sengit Avengers menentang musuhnya, ia masih mampu diselitkan dengan dialog-dialog lucu di antara babak-babak aksi lasak pergaduhan ber-CGI yang memberikan kepuasan maksima penontonan. Sejujurnya, saya merasakan bahawa filem kali ini berjaya memberikan eskapisme minda ke dalam dunia superhero yang merbahaya dan berwarna-warni! Saya dengan amat yakinnya memberikan 5 BINTANG.
Oh! Jangan lupa menonton filem ini sehingga paparan kredit akhir kerana ada satu babak tambahan yang mengujakan ya! Tonton filem ini.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih Atas Pandangan Dan Komen Anda . Shahril Akan Memperbetulkan Apa Yang Kurang . :) Lepas komen Jangan Lupa Share Artikel Dan Follow Blog Shahril !